KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi pemerolehan saham tambahan dalam Affin Bank oleh Kerajaan negeri daripada LTAT.
Majlis penuh bersejarah itu disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg manakala pertukaran MoU disempurnakan oleh Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar dan Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi.
Dengan termeterainya MoU tersebut, Kerajaan Sarawak dan LTAT akan meneruskan perjanjian jual beli selepas mendapatkan kelulusan pengawalseliaan yang diperlukan.
Menurut Abang Johari, MoU ini bertujuan menerokai potensi kerjasama dan perkongsian maklumat di antara Sarawak dan LTAT.
Ujarnya, kerjasama strategik dengan LTAT yang menguruskan Dana Tabung Simpanan yang lestari diharap dapat membuka peluang unik untuk Sarawak, terutamanya dalam sektor pembuatan, pertanian komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan dan perkhidmatan.
"Saya percaya bahawa pelaburan jangka panjang LTAT selaras dengan falsafah pelaburan negeri itu.
"Kerjasama dengan LTAT membuka peluang unik untuk Sarawak meneroka potensi kerjasama terutamanya dalam enam sektor keutamaan iaitu Pembuatan, Pertanian Komersial, Pelancongan, Perhutanan, Perlombongan, dan Perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sarawak dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang diadakan di Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Katanya, pemeteraian MoU ini menandakan satu langkah penting dalam usaha Sarawak mencapai Strategi Pembangunan Pasca-Covid 2030 (PCDS 2030).
Menurut beliau, PCDS 2030 bertujuan menjadikan Sarawak sebuah masyarakat yang berkembang pesat melalui data dan inovasi, dengan semua lapisan masyarakat menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial, dan alam sekitar yang lestari menjelang tahun 2030.
"Sarawak sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mencapai matlamat PCDS 2030, antaranya mempromosikan Ekonomi Hijau dengan tenaga boleh diperbaharui seperti hidroelektrik, solar terapung, hidrogen, dan penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS)," katanya lagi.
Jelasnya lanjut, Abang Johari menambah, Sarawak juga memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur yang komprehensif seperti jalan raya, jambatan, infrastruktur air dan elektrik, telekomunikasi dan kesalinghubungan internet, serta Autonomous Rapid Transit (ART).
Mengenai MoU tersebut, beliau percaya Affin Bank boleh mengakses rangkaian di bawah Sarawak yang lebih luas di mana ia boleh bekerjasama dan memanfaatkan kemampuan perbankan pelaburan dan perbendaharaannya.
"Affin Bank juga berpeluang untuk mengembangkan asas pelanggan runcit di Sarawak dan bekerjasama dalam mempromosikan pembayaran tanpa tunai serta penggunaan perbankan digital.
"Selain itu, Affin Bank boleh menyokong PKS dengan menyediakan akses kepada pembiayaan yang berpatutan dan meningkatkan literasi kewangan melalui platform rangkaiannya," ujar beliau.
Katanya, peluang untuk bekerjasama dengan Affin Bank adalah luas, antara lain dalam bidang mempromosikan pembayaran tanpa tunai dan penggunaan perbankan digital di Sarawak.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet Persekutuan dari Sarawak dan barisan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak.